Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, November 20, 2009

Sejarah Thesaurus

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Thesaurus, 'kamus' sinonim dan antonim bagi jutaan orang yang terpaksa atau sukarela 'bergelumang' dengan bahasa Inggeris.


TOKO buku dalam talian Amazon.com mencatat 935 buku bertajuk thesaurus dalam daftar jualannya.

PETER MARK ROGET adalah seorang pekerja ilmu (Knowledge Worker). Di belakang namanya, terkumpul sederet gelar yang menunjukkan keahliannya atau kepakarannya. Kelahiran London pada 18 Januari 1779 itu antara lain, adalah seorang doktor, ahli geologi, 'master' dalam permainan catur, penemu sinema, dan sarjana leksikologi - suatu cabang ilmu bahasa yang mempelajari bentuk, sejarah dan erti kata. Roget adalah seorang polymath (pakar pelbagai bidang) sejati, seseorang yang mempelajari dan menguasai banyak keahlian.

Di atas kesemuanya itu, Roget telah meninggalkan karya penting tentang bahasa Inggeris. Ia adalah penyusun thesaurus', yang sama sekali tiada hubungannya dengan 'dinosaurus', meskipun ada kedekatan bunyinya. Thesaurus adalah 'kamus' sinonim dan antonim yang menjadi 'dewa penolong' bagi jutaan orang di dunia yang terpaksa atau sukarela 'bergelumang' dengan bahasa Inggeris.

Sejak diterbitkan pertama kali di London pada bulan Mei 1852 oleh penerbit Longman, Roget's Thesaurus of English Words and Phrases telah laku terjual lebih daripada 30 juta naskhah.

Diukur dengan standard apa pun, harus diakui bahawa thesaurus ini adalah salah satu buku rujukan yang paling popular pernah ditulis dalam sejarah.

Kira-kira 1,000 naskhah terjual sehingga akhir tahun 1852 itu. Untuk ukuran waktu itu, jumlah tersebut sudah termasuk hal yang luar biasa. Sejak buku itu diterbitkan pertama kali di Amerika Syarikat pada 1854, nama Roget mula dikenali di seluruh dunia.

Thesaurus yang berasal dari kata Yunani yang bererti treasure house betul-betul menjadi 'rumah harta' bagi pengarangnya dan mereka yang memanfaatkannya termasuk penulis. 'Berkat' thesaurus tidak cuma sampai di situ saja. Hingga saat ini, buku yang mencantumkan kata thesaurus pada judulnya sudah ditulis orang termasuk Colins Gem Roget's International Thesaurus (1996).

Toko buku dalam talian Amazon.com saja mencatat 935 buku bertajuk thesaurus dalam daftar jualannya. Topiknya bermacam-macam, mulai dari teknologi luar angkasa sehingga hal masak-memasak.

Jauh sebelum Roget, sudah ada beberapa orang yang cuba mengklasifikasi kata-kata dalam bahasa Inggeris baik secara abjad mahupun atas dasar kesamaan maknanya. Misalnya, Robert Cawdrey, seorang guru sekolah di England yang mengumpulkan 2,500 kata yang disusun secara abjad dan diterbitkan dalam sebuah buku berjumlah 120 halaman.

Kamus Cawdrey ini bertajuk A Table Alphabetical of Hard Usual English Words, terbit pertama kali pada tahun 1604. Yang menarik dalam kamus Cawdrey, adalah catatan yang ditulisnya sendiri iaitu karya tersebut disusun 'for the benefit and help of ladies, Gentlewomen or any other unskillful persons'.

Setelah Cawdrey, muncul pula nama John Truster dengan karyanya The Difference Between Words Esteemed Synonymous in the English Language and the Proper Choice of Term Determined. Karya Truster inilah yang pertama kali memfokus pada 'sinonim' kata-kata dan kerana itu, ia boleh dianggap sebagai 'thesaurus' pertama yang ditulis.

Selanjutnya muncul nama seorang perempuan, Hester Lynch Piozzi, dengan bukunya British Synonym: An Attempt at Regulating the Choice of Words in Familiar Conversation yang diterbitkan pada 1794. Karya ini juga yang setebal 427 halaman dikatakan telah mempengaruhi proses intelektual Roget.

Roget sendiri, meskipun sejak muda sudah tertarik dengan ilmu kata-kata dan cuba mengumpulkan kata-kata berdasarkan kemiripan maknanya, hanya baru mulai menulis thesaurus-nya ketika berusia hampir 70 tahun. Situasinya sendiri dirasakan begitu pahit ketika itu, dan dia terpaksa mengundur dari keahlian The Royal Society untuk memberi tempat kepada saintis yang lebih muda, bertenaga dan dinilai lebih cemerlang daripada Roget. The Royal Society adalah organisasi terhormat yang dianggotai para saintis Inggeris pilihan.

Paksaan tersebut menimbulkan kemarahan Roget. Ia bersumpah jika Tuhan menganugerahi umur yang panjang dan kesihatan yang baik, maka Roget akan mempersembahkan sebuah buku tentang bahasa yang boleh disetarafkan dengan karya Linnaeus tentang haiwan dan tumbuhan. Akhirnya, 'Tuhan' memberi peluang kepada Roget sepanjang 21 tahun lagi untuk menyiapkan thesaurusnya dengan kesihatan yang agak sempurna.

Karya Roget sebenarnya membantu mereka yang tidak akrab dengan nuansa makna bahasa Inggeris agar dapat menggunakan kata-kata secara tepat. Ini selanjutnya akan menghindarkan orang daripada memalukan diri sendiri akibat kedangkalan dalam berbahasa Inggeris.

Dibandingkan dengan para pendahulunya, Roget's International Thesaurus dinilai lebih konseptual keseimbangan sekadar menyusun kata-kata secara abjad. Ia secara teliti menyusun dan mengelompokkan kata berdasarkan gradation (pemeringkatan) iaitu mulai makna paling dekat (sinonim) hingga yang berlawanan makna (antonim).

Karya Roget ini tidak hanya berfungsi sebagai sebuah 'mesin' penemu kata, tetapi juga sebuah 'mesin' penyegar memori yang mampu mengingatkan orang akan kata-kata yang pernah diketahuinya.

Pertanyaan yang kemudiannya muncul adalah: Apa sebenarnya yang dimaksud dengan sinonim itu? Apakah ada dua kata yang benar-benar sinonim? Atau, jangan-jangan setiap kata memang diciptakan untuk tujuan yang unik dan kerananya, 'sinonim' sempurna itu tidak pernah ada?

Justeru, di sinilah pangkal persoalannya. Ketika bahasa berkembang dengan sangat pesat dan kompleks seiring dengan perkembangan ilmu, banyak pengguna thesaurus menjadi kian malas menelusuri nuansa makna yang dikandung oleh setiap kata. Mereka sibuk memperkenalkan kata-kata baru yang kelihatan canggih meskipun maksudnya tidak tepat.

Inilah yang dianggap oleh pakar bahasa sebagai sumber kekacauan intelektual dan 'kedangkalan' berbahasa.

Kini, nama Roget tidak lagi disebut dengan nada kagum. Encyclopedia Britannica edisi terakhir hanya menyediakan entri kemasukan sependek 20 baris untuk menjelaskan siapa Roget. Pada hal Roget adalah seorang editor pada edisi ketujuh ensaiklopedia tersebut dan penyumbang 300,000 kata di dalamnya.

Lebih lucu lagi, jika kita mencuba menulis kata 'Roget' ketika mengetik Microsoft Word, akan ada garis bawah merah yang menandakan kata itu tidak dikenal oleh sistem ciptaan Bill Gatestersebut. Kasihan Roget, ia seolah-olah semakin dilupakan dan semakin ditelan zaman!

Daripada arkib Kosmo!

No comments: