Monday 3 February 2014

POLIGAMI BUKAN TSUNAMI


apabila membicarakan tentang isu poligami, sebahagian dari antara kita bersetuju bahawa poligami yang terkandung di dalam Al Quran mempunyai pelbagai hikmah kebaikan yang tersembunyi. Namun pada pandangan saya, setelah melalui proses pernikahan poligami dan melalui alam rumahtangga, sesungguhnya hikmah poligami itu benar-benar murni namun cara kita mengaturnya di dalam masyarakat hari ini agak tidak berhikmah.
Hikmah poligami yang banyak hanya akan dirasai apabila suami dan isteri-isteri telah berada di dalam keluarga poligami. Akan tetapi sebahagian hikmah ini telah dijadikan syarat untuk berpoligami, maka itu menyusahkan dan mampu memberi kesan buruk kepada keluarga.
Undang-undang mahkamah kita dalam hal poligami mempunyai objektif yang baik untuk menjaga maslahat isteri-isteri, namun bagi saya adalah tidak berhikmah bilamana seorang suami perlu mengungkap kekurangan isteri di dalam borang/mahkamah dalam melalui prosedur berpoligami.
Adakah perlu membuat pengakuan dan kenyataan secara terbuka sedangkan hal rumahtangga adalah sesuatu yang sangat rahsia lagi terpelihara di dalam agama.
“Ya, saya ingin berkahwin lagi kerana isteri saya tidak boleh melahirkan anak”
“Saya ingin berkahwin lagi kerana isteri pertama saya sakit, tidak dapat melayan saya dengan baik”
“Saya ingin berkahwin lagi kerana nafsu seks saya tidak mampu dipenuhi oleh isteri”
“Saya ingin berkahwin lagi kerana isteri saya gila”
“Saya ingin berkahwin lagi kerana saya mampu memberi nafkah yang mencukupi untuk para isteri”
Apakah perasaan isteri pertama, atau kedua, atau ketiga setiap kali suami akan berkahwin lagi? Perlu mengungkap segala kekurangan dan keburukan seperti di atas?
Ya, pada yang ingin berpoligami, bersedialah anda untuk mengungkap kelemahan rumahtangga anda, kerana poligami hanya dizinkan bilamana ia dinilai patut dan perlu. Mahkamah akan mempertimbangkan jika isteri anda mempunyai masalah kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.
Cukuplah sebahagian masyarakat melabel isteri pertama macam-macam – bila suami bernikah lagi – tidak perlu lagi perasaan isteri dijatuhkan di perbicaraan mahkamah secara terbuka.
Saya bukan ingin meremeh-remehkan undang-undang mahkamah, namun perlu ada revolusi baru dalam hal ini, apatah lagi dengan jumlah angka yang agak besar telah beratur di sempadan untuk bernikah poligami, seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
Prof Dr Wahbah Az Zuhaili di dalam bukunya Fiqih Islam Wa Adillatuhu, berpoligami dengan mendapat keizinan hakim adalah sesuatu yang tertolak atas beberapa sebab, antaranya kerana perkahwinan adalah sesuatu yang amat peribadi. Perkahwinan adalah kesepakatan antara suami dan isteri bersama wali pihak perempuan. Sesungguhnya rahsia rumahtangga tertutup dan hanya diketahui oleh suami dan isteri.
Saya juga bersetuju dengan pandangan beliau bahawa poligami itu sangat baik dari segi prinsipnya, namun perlaksanaan yang tidak betul dari pihak suami menyebabkan hak-hak isteri terabai.
Saya juga ingin menambah, bahawa kita para isteri yang akan atau telah berada di alam poligami juga perlu sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama untuk mencipta keharmonian rumahtangga poligami. Jatuh bangun sebuah rumahtangga tidak hanya terletak di tangan suami.
Yang lebih tepat, adalah pihak yang berkaitan perlu mendidik generasi dengan lebih padu dan terancang berkaitan kekeluargaan – agar mampu membina keluarga yang punya sakinah, rahmah dan mawaddah, samaada poligami dan monogami. Pihak suami dididik untuk memberi nafkah dan bergaul dengan baik, para isteri dididik untuk menjadi pendorong dan pembantu suami dalam keimanan.
Sesungguhnya poligami adalah syariat yang sangat berhikmah untuk menampung kelemahan suami dan isteri-isteri. Apabila mempunyai isteri lebih dari satu, ia membantu lelaki yang beriman untuk menyalurkan fitrah di jalan halal lagi diredhai, kerana fitrah lelaki itu sebahagian besarnya ada pada poligami. Ia juga membantu wanita-wanita yang beriman untuk menyalurkan fitrah di jalan yang halal lagi diredhai.
Seandainya salah seorang isteri sakit, isteri yang lain boleh menjaga suami dan rumahtangga – hal ini memberi kekuatan kepada suami untuk terus membantu dan menjaga kebajikan isteri yang sakit. Seorang isteri yang tidak melahirkan anak, boleh menumpang kasih pada anak dari isteri yang lain. Suami berasa seronok punya anak, isteri pun berasa seronok dengan keluarga besar.
Jadi kebaikan itu terlihat dan lahir apabila poligami telah berlaku, bukan sebaliknya. Poligami memberi kebaikan peribadi kepada suami dan isteri, juga kebaikan kepada umum.
Adalah menjadi fitnah dan tekanan yang besar pada isteri jika diwar-warkan, “suaminya berkahwin kerana mahukan anak”.
“Ohh kesian dia, tak boleh bagi anak pada suami”.
“Dia sakit, patutlah suami kahwin lagi”.
“Anak dah ada ramai, tapi suami kuat seks gamaknya, patut ler menambah isteri”
“Sibuk menjaga anak ramai, patutlah suami cari lain”
“Dia tu macam tak betul sangat, sebab tu suami kahwin lagi”
“Patutlah kahwin lagi, sebab dah jumpa yang muda jelita”
“Sibuk sangat dengan kerja/bisnes, mana suami tak cari lain”
Mudah-mudahan kita bukan di kalangan orang yang mengungkapkan kata-kata negatif lagi tidak berhikmah berkaitan poligami seperti di atas. Usah menilai rumahtangga orang lain, biarlah rahsia mereka tertutup rapi, kecuali dalam keadaan tertentu yang membolehkan bercerita.
Maka, jika ingin bernikah lagi, bernikahlah ketika isteri masih sihat.
Pada yang sudah punya anak-anak, bernikahlah satu lagi untuk maslahat lain. Agar tidak terfitnah mereka yang tidak punya anak.
Pada isteri yang masih cantik dan seksi, benarkanlah suami bernikah lagi, kerana sesungguhnya poligami tidak hanya untuk mencari wanita seksi dan cantik.
Pada isteri yang masih muda, tak salah benarkan suami yang juga masih muda bernikah lagi.
Pada isteri yang belum sibuk dengan bisnes dan kerja, cadangkanlah pada suami untuk berkahwin lagi sebagai persediaan untuk menghadapi hari sibuk.
Wah…lepas ni blog saya kena bakar dengan kerana menyokong suami berpoligami secara besar-besaran :D
Ini hanya perkongsian yang tercetus di minda, saya tidak menggalakkan bernikah semberono.
Pada suami, teruslah menjadi suami dan ayah yang baik, dan suarakan hasrat poligami.
Pada isteri, teruskan menjadi isteri yang hebat, dan permudahkan suami berpoligami. Kita berada dalam suasana yang memanggil semua untuk menjayakan poligami.
Saat ini, samaada suami atau isteri, mungkin ada yang merasa berat, tidak mahu, tidak boleh menerima, tidak sanggup, tidak berhajat, tidak perlu dan sebagainya.
Moga bila tiba saatnya, lima tahun atau sepuluh tahun lagi, kita suami isteri bersedia mencantikkan poligami. Moga poligami tidak lagi menghairankan atau menakutkan.

EBOOK PERCUMA

EBOOK PERCUMA

Nama
Email
No H/P