NUFFNANG

Monday 20 January 2014

Enakmen Agama Bukan Islam Selangor Tidak Bercanggah Perlembagaan Persekutuan – Peguam

Enakmen Agama Bukan Islam Selangor Tidak Bercanggah Perlembagaan Persekutuan – Peguam

SHAH ALAM: Pakar undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin menegaskan dakwaan sesetengah pihak bahawa Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat sama sekali.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, enakmen berkenaan sebenarnya diwujudkan berasaskan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam.
“Jadi bermakna enakmen ini telah digubal secara sah berpandukan kepada undang-undang,” katanya kepada Antarapos.
“Asalnya undang-undang ini dibentuk dan digubal daripada peruntukan Perkara 11 Fasal 4 kepada Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Dia kata pihak berkuasa negeri boleh mewujudkan satu undang-undang yang mengawal orang ramai daripada mengembangkan doktrin ataupun kepercayaan agama lain kepada orang Islam,” ujarnya.
Justeru, Salehuddin yang juga seorang peguam dan bekas pendakwaraya persekutuan berkata, perlembagaan memberikan hak kepada Selangor dan negeri-negeri lain mewujudkan undang-undang demi akidah Muslim dan syiar Islam sendiri.
Menurutnya, di bawah enakmen itu penggunaan kalimah Allah serta 34 perkataan Arab lain dalam mana-mana penerbitan agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali di negeri ini.
Oleh itu, selaku badan yang menguatkuasakan enakmen berkenaan, Jabatan Agama Islam Selangor JAIS) sememangnya mempunyai hak untuk mengambil tindakan, katanya.
Ini, katanya, kerana Seksyen 10 Enakmen berkenaan jelas memberi kuasa kepada JAIS untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya dalam hal ini, di samping pegawai polis berpangkat inspektor ke atas turut mempunyai kuasa.
“Itu tidak bertepatan, sebab adanya enakman agama ini dan disebutkan Islam ini orang ingat JAIS hanya boleh ambil tindakan kepada orang Islam sahaja, sebenarnya tidak.
“Enakman ini adalah terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam. Dan ini bermakna dalam enakman ini mengatakan bahawa pihak yang berkuasa melakukan penyiasatan telah tercatat dalam jadual Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Ketua Penguatkuasa JAIS, Penasihat Undang-undang Syarak JAIS, semua pegawai agama Islam Selangor dan pegawai polis berpangkat inspektor dan ke atas,” tegasnya.
“Bermakna undang-undang ini telah memberikan kuasa kepada pegawai-pegawai dari JAIS sebagai badan penguatkuasa untuk melakukan penyiasatan, pemeriksaan terhadap kesalahan-kesalahan yang dikatakan dilakukan berkaitan dengan enakman ini,” tambahnya.
Salehuddin berkata, segala tindakan JAIS hendaklah diambil melalui Kanun Prosedur Jenayah Mahkamah Sivil dan bukan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 2013 manakala pendakwaan pula dilakukan di mahkamah sivil dan bukan di mahkamah syariah – Antarapos

source : aidc

No comments: