"Nikmat paling manis apabila ALLAH TAALA mentarbiah kita dengan pelbagai ujian.. Namun tautan ukhuwah mampu berhadapan dengan sejuta kesulitan yang memberikan suntikan semangat perjuangan. Alirkan Halawatul Ukhuwah kesungguhan dalam perjuangan melalui RABITAH HATI.."

UKHUWAH........ Terlalu indah diungkapkan dan terlalu manis pabila dihiasi dengan kasih sayang kejujuran dan keikhlasan... Ukhuwah... Tidak semua manusia menghargai sebuah ukhuwah tersebut... kekadang..kerana sebuah ukhuwah,air mata sering menitis kerananya.. Ukhuwah... ukhuwah itu terlalu bererti buatku YA ALLAH...... Rahmatilah dan redhailah ukhuwah kami...

Coretan ini kutujukan khas buat insan yang bergelar sahabat-teman-kawan-rakan.... sahabat.. coretan ini dari hati yang ingin mengerti..untuk harga sebuah ukhuwah yang sering tidak diambil peduli.. sahabat... ukhuwah persis untaian tasbih..ada awal dan akhirnya..dicantum kerana-NYA..diratib juga kerana-NYA.

Ukhuwah itu terlalu indahkan?? Titik pertemuan ukhuwah yang sebenarnya adalah semuanya kerana RABBUL IZZATI.. sahabat.. Demi ALLAH,saya menyayangi kamu semua.. bukankah mengasihi temannya lebih dari diri sendiri dan hanya kerana ILAHI INSYAALLAH akan beroleh halawatul iman juga... sahabat....

sabda Rasullulah S.A.w.."umatku masuk syurga bukanlah kerana banyak solat dan puasa tetapi disebabkan selamatnya hati dan kemurahan jiwa dan kasih sayang kepada sesama muslim.."

Tidak rugikan andai kita bersahabat ukhuwah fillah kerana ALLAH.. Mengertikah kamu tentang erti menyayangi?? Erti menyayangi diri itu menyayanginya dari seksa ALLAH dengan meninggalkan maksiat serta bertaubat disamping taat dan ikhlas,manakala erti menyayangi orang lain pula adalah tidak menyakiti seorang muslim..

sahabat.. Bila berbicara tentang ukhuwah,kasih cinta dan sayang.. kita sering mempersoalkan apakah makna disebalik perkataan tersebut dan pentingnya dalam kehidupan kita.Dan semua perkataan tersebut dimajmukkan dalam UKHUWAH.. Ukhuwah merupakan satu pemberian daripada ALLAH TAALA kepada hambaNYA yang ikhlas dan Auliya'nya yang suci dan bersih.

Ukhuwah merupakan kekuatan iman. Tiada ukhuwah tanpa iman dan tidak sempurna iman seseorang tanpa ukhuwah islamiyah sepertimana firman ALLAH S.W.T yang bermaksud.. "sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.."(AL-HUJARAT:10)

sahabat... Nilaian ukhuwah sangat tinggi menyebabkan ianya tidak dapat dibeli dengan harta ataupun diwariskan. Ianya merupakan roh yang ALLAH hidupkan ke dalam hati orang-orang yang beriman bila-bila masa sahaja yang dikehendaki-NYA supaya mereka bersatu..

Mari kita renungi keutamaan berukhuwah...
-Terpancar sinar cahaya daripada wajah-wajah mereka..
-Mendapat perlindungan 'Arasy ALLAH S.W.T pada hari kiamat kelak
-Dimasukkan ke dalam syurga ALLAH dan mendapat keredhaanNYA
-Diampunkan dosa-dosa mereka
-Akan mendapat kasih sayang ALLAH
-sesungguhnya mereka inilah yang akan mendapat halawatul iman sahabat....

Tahukah ukhuwah itu dibina bagaimana?? ukhuwah...perlulah ikhlas kerana ALLAH dan mestilah disertai dengan iman dan taqwa. ukhuwah juga perlulah berlandaskan manhaj islam iaitu bersama-sama berjanji untuk menegakkan syariat ALLAH dan menjadikan RASULULLAH sebagai rujukan dalam setiap keadaan.

sahabat, ukhuwah didirikan atas dasar nasihat menasihati kerana ALLAH DAN tidak lupa juga ukhuwah dalam keadaan susah dan senang................. Sahabat... ukhuwah merupakan pemberian RABBANI yang dianugerahkan ALLAH ke dalam hati hamba-hambaNYA yang ikhlas menerima dan beriman.

ukhuwah dapat diselami apabila kita:

"sekiranya seseorang menyukai saudaranya,hendaklah dia beritahu saudara tersebut bahawa dia menyayanginya." (sabda NABI S.A.W riwayat ABU DAUD & TARMIZI)

"sekiranya berpisah,maka mintalah saudaranya untuk mendoakan dirinya semasa ghaib." (sabda NABI S.A.W riwayat ABU DAUD & TARMIZI)

"hendaklah memaniskan muka dan bersalaman setiap kali bertemu."

"memperbanyakkan ziarah saudaranya dari semasa ke semasa" "hendaklah ucapkan tahniah tatkala berjaya dalam apa jua keadaan>"

"hendaklah memberi hadiah pada waktu-waktu tertentu"

"hendaklah prihatin keadaan saudaranya dan sentiasa menghlurkan bantuan apabila diperlukan." "memenuhi hak ukhuwah secara sempurna."

sahabat.... Saya mengasihimu kerana ALLAH dan ku pinta kasihiku kerana ALLAH juga. ku garapkan coretan ini khas buat yang bergelar sahabat.. yang mengenaliku sebagai sahabat teman kawan dan rakan...... Moga indah ukhuwah kita bertemu dan berpisah kerana ALLAH TAALA RABBUL IZZATI YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG…..

Read More..

al-gaza

Gaza & Saat Doa Menjadi Senjata Muslimin - Oleh Syed Mikael Rizal Aidid PDF Print E-mail
Palestin Gambar di hampir semua akhbar perdana baru-baru ini, yang menunjukkan solat jenazah yang diadakan untuk mangsa serangan bom Israel terhadap sekolah PBB di kem pelarian Jabaliya, utara Genting Gaza yang menyaksikan seramai 48 jenazah pelajar dan guru, amat menyayat hati dan seumpama mengoyak-ngoyakkan maruah umat Islam seluruh dunia. Apakah lagi yang tinggal pada umat Islam hari ini, yang semakin membuktikan kebenaran sabda dan peringatan baginda Rasulullah S.A.W., “Akan datang satu masa nanti, umat Islam amat ramai, tetapi umpama buih di tepian pantai sahaja serta kamu didatangi dan diratah oleh musuh-musuh kafir umpama lauk-pauk yang terhidang di atas meja makan”.

Hari ini adalah merupakan hari kesebelas bumi Gaza diperlakukan semahunya oleh tentera rejim zionis yang terkutuk. Lebih 700 nyawa saudara-saudara kita dijadikan bahan melepas geram, yang lebih sayunya seramai lebih 200 orang dari pada jumlah itu adalah merupakan kanak-kanak yang tidak berdosa. Apakah yang sebenarnya Israel mahukan dari tanah sekangkang kera, iaitu Genting Gaza itu? Tidak cukup dengan bom berangkai yang dijatuhkan dari pesawat canggih Falcon F15 dan helikopter tempurnya, ditambah lagi dengan curahan peluru berpandu dari armada lautnya sehinggalah kepada gerombolan kereta kebal beserta ratusan unit infantri menerobos masuk ke segenap simpang, lorong dan rumah-rumah orang Islam di sana. Setelah hampir 700 yang terkorban dan 3,000 yang cedera, mahu apa lagi rejim terkutuk ini dari tanah kecil orang Islam itu?

Pembantaian umat Islam di Gaza sekali lagi mengetuk setiap pintu hati umat Islam seantero dunia, betapa ini isyarat jelas dan semboyan perang yang dimainkan oleh mereka yang tidak pernah senang dengan kebangkitan umat Islam. Upacara penghapusan etnik (ethnic cleansing) yang acap kali kita dengar meragut kedamaian umat Islam minoriti di Bosnia, Checnya, Kosovo dan Kashmir seperti terus menjadi alat untuk meranapkan sama-sekali sinar kebangkitan umat Islam, yang baru bertatih membina kekuatan dan kerajaan di Gaza. Jelas, Israel mahu pengaruh Hamas dinyahkan serta-merta. Untuk mengiyakan lagi niat jahat mereka ini, ia dijelmakan dengan tindakan kejam membunuh dan meruntuhkan segala persiapan umat Islam untuk bangkit melawan semula.

Selain daripada bangunan parlimen, rejim yang bongkak ini turut mengebom pusat pentadbiran kerajaan, pasaraya, masjid, sehinggalah kepada hospital, yang merupakan harapan terakhir untuk menyelamatkan ribuan umat Islam yang sedang berada di ambang kematian. Ia mirip misi ‘carpet bombing’ yang pernah dijalankan oleh Amerika Syarikat sewaktu menawan Baghdad dan Afghanistan suatu ketika dahulu, tanpa satu binaan pun ditinggalkan. Alasan-alasan yang berirama basa-basi seperti “Kami menyerang Gaza, demi keselamatan penduduk kami dari bedilan roket-roket pejuang Hamas” akan menjadi hujah rutin pemimpin-pemimpin bongkak mereka setiap hari.


Atas nama ‘keselamatan’ penduduknya, rejim terkutuk ini membalas setiap serangan roket Hamas dengan mencampakkan bertan-tan bom berangkai ke sasaran awam dengan sewenang-wenangnya. Ketidakadilan yang berlaku di dalam pertempuran ini menyaksikan di satu pihak, mereka melumatkan saingannya semahu-mahunya dengan bekalan-bekalan artileri dan peralatan perang tercanggih abad ini yang ditaja oleh Amerika Syarikat, sedangkan di satu pihak lagi dengan peralatan daif yang kalau dilancarkan pun roket-roket kecil ini, jangkauannya tak sejauh mana pun dan jika dikesan di ruang udara Israel, akan segera ditangkis oleh pelancar anti roket Israel.

Mahu atau tidak, penduduk Gaza perlu mengambil keputusan ultimatum, antara ‘do or die’ iaitu bertempur atau berkubur. Peperangan adalah merupakan jalan terakhir yang diambil oleh Islam, demi mempertahankan tanahair daripada dirampas oleh tentera kafir. Begitu juga keadaannya di Gaza, walaupun mereka tahu mereka berada di pihak yang kalah, pihak minoriti, pihak yang dibuli dan dibelasah oleh musuh, namun semangat untuk bangun menentang tidak akan mampu ditentang oleh sesiapa pun. Biar hancur segala harta benda, mati semua sanak saudara, hilang semua tempat bergantung & berlindung, tapi dengan keyakinan mereka masih punya Allah dan Rasul, tentera kejam Israel pasti akan dikuburkan beramai-ramai di Gaza.

Allah berfirman di dalam Surah As-Saff ayat ke-8: “Mereka ingin dan berusaha untuk memadamkan cahaya agama, tetapi Allah tetap akan menyempurnakan cahaya agamanya miskipun orang-orang kafir enggan menerimanya, tetap menentang dan menolaknya.” Ini adalah azimat perjuangan yang tetap tersemat di hati para pejuang Hamas, betapa Allah akan bersama dalam setiap gerak gempur mereka demi mempertahankan maruah agama. Ingatlah Israel, walaupun kamu hantar puluhan kapal perang, ratusan jet pejuang canggih, ribuan kereta kebal besar dan ribuan askar pakar kamu, kamu pasti tidak akan dapat memadamkan cahaya agama Allah. Kebangkitan Intifadha yang tidak dapat tertahan-tahan ini bakal meranapkan seluruh kekuatan dan keegoan kamu selama-lamanya.

Doa Sebagai Senjata

Dalam keadaan segala pintu dan jalan keluar buat saudara-saudara kita di Gaza semakin tertutup, bermula dengan pemotongan bekalan air, elektrik dan komunikasi, disusuli dengan pengeboman keperluan-keperluan awam seperti hospital dan pasaraya, ditambah lagi dengan sekatan ketat yang menghalang bantuan antarabangsa dari aspek perubatan, makanan dan kemanusiaan, apa lagi yang kita boleh harapkan? Dalam kata mudahnya, mereka seolah-olah terkepung, terperangkap dan hanya menunggu masa untuk dibunuh sewenang-wenangnya oleh rejim binatang Israel.

Hampir setiap hari demonstrasi diadakan untuk meluah rasa marah umat Islam, hampir setiap masa desakan dibuat oleh negara-negara yang bersimpati agar PBB mengadakan sidang khas untuk menyelamatkan Gaza, usaha memboikot yang saban hari digerakkan, namun adakah Yahudi akan tunduk dan akur pada tuntutan dunia Islam? Sifat dan watak bongkak dan takabbur mereka ini telah Allah S.W.T. rakam di dalam Surah al-Baqarah, ayat 120 yang menyatakan; “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang sebenarnya. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

Jelas dan sentiasa bersifat terkini dan mutakhir, itulah al-Qur’an yang sarat dengan pesan-pesan dari Allah S.W.T. yang kekal relevan sepanjang zaman. Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali tunduk dan merasa senang terhadap umat Islam, melainkan umat Islam berada di hujung telunjuk mereka, umpama budak suruhan, budak belasahan dan hamba abdi sahaja layaknya pada mereka. Yahudi juga tidak sekali-kali pernah faham dengan bahasa perdamaian. Bahasa yang mereka fahami hanyalah pegangan yang menyatakan mereka adalah bangsa dan kaum yang terpilih di sisi Tuhan atau “the chosen one” dan yang lainnya itu layak dilayan seperti binatang sahaja. Itulah prinsip yang dinobatkan demi menghalalkan segala tingkah laku biadab mereka selama ini.

Lantas, adakah kita akan terus-menerus mengalah dengan berada di bawah naungan keegoan Israel yang bongkak ini selama-lamanya? Dengan dominasi mereka yang menguasai politik, ekonomi dan ketenteraan dunia, ini tidak harus jadi sebab kita mati rasa dan mengiyakan semua penguasaan mereka. Ingat, dalam kerendahan, kemiskinan dan serba kekurangannya kita, kita tetap masih mempunyai doa. Sesungguhnya doa itu di sisi Allah S.W.T. amat tinggi nilainya dan Dia amat menyukai hamba-hambaNYA yang meminta kepadaNYA. Sehinggakan di dalam keadaan umat Islam dalam keadaan tiada lagi upaya daya dan ditimpa musibah yang hebat, Allah S.W.T. menenangkan hamba-hambaNYA dengan berfirman; “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah, bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah:186).

Doa yang bagaimanakah yang bakal dikabulkan oleh Allah S.W.T. dengan kadar segera? Sudah tentulah di antara doa yang paling makbul adalah doa-doa mereka yang dizalimi dan tertindas. Untuk memperkuatkan lagi jaminan Allah S.W.T. itu, baginda Rasulullah S.A.W. menyusul dengan sabdanya; “Ad-dua`sillatul mukmin” yang bermaksud doa itu adalah senjata bagi orang mukmin. Kenapakah doa yang tampak begitu lembut dengan hanya tadahan tangan dan beberapa alunan munajat itu disama tarafkan oleh Rasulullah S.AW. dengan senjata? Di sinilah letaknya martabat doa yang tertinggi, di mana dengan hati yang bersih, hati yang jitu dan susulan usaha yang sungguh-sungguh, kita akan mampu menangkis setiap inci mara bahaya yang datang.

Sirah kenabian yang lampau dan realiti kontemporer telah membenarkan lagi kata-kata Rasulullah S.A.W. ini. Bermula dengan doa Nabi Nuh a.s. yang membinasakan setiap seorang penentang agama Allah S.W.T. dalam satu peristiwa banjir besar, doa Nabi Luth a.s. yang menjungkir balikkan bumi tempat tinggal kaumnya yang meyeleweng dalam perhubungan sejenis, ditunjukkan lagi dengan doa Nabi Salleh a.s. yang disusuli dengan teriakan keras Malaikat Jibril yang menghancurkan mereka yang membunuh unta milik Allah S.W.T., doa Nabi Ibrahim a.s. yang mampu menyejukkan api yang sedang marak membakar dirinya dan doa baginda Rasulullah S.A.W. sendiri, yang lebih dikenali dengan doa qunut Nazilah yang membinasakan pimpinan musuh Islam yang membunuh puluhan para Hafiz yang dihantar olah Rasulullah untuk misi dakwah kepada mereka. Ini bukti jelas, bahawa doa tidak boleh dipandang enteng kekuatannya. Ia lebih berkuasa dari ledakan bom atom, hatta kemusnahan perang yang dibawa oleh musuh kafir kita pada hari ini, hanya sekelumit sahaja kekuatannya jika dibandingkan dengan kekuatan Allah S.W.T. menerusi doa-doa orang Islam.

Saat Bantuan Allah Tiba

Peperangan Russia dan Afghanistan pada era 80-an, dan pembantaian umat Islam oleh militan kristian di Ambon, Maluku, Indonesia pada awal alaf baru ini merupakan bukti betapa doa-doa pejuang Islam yang ikhlas berjuang kerana Allah S.W.T. akan terus dan tanpa tangguh terangkat ke langit. Kejadian tentera-tentera kafir melihat ratusan tentera putih berkuda, berada di belakang barisan tentera umat Islam adalah perkara yang amat menggerunkan mereka.

Kesaksian ini acapkali diakui sendiri oleh tentera Rusia dan Kristian di Maluku yang ketakutan sehingga lari bertempiaran melihat tentera-tentera ‘tambahan’ yang dihantar oleh Allah S.W.T. untuk memenangkan umat Islam. Itulah malaikat Allah S.W.T. yang Dia janjikan akan turun membantu umat Islam, sepertimana dalam firman Allah; “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: Rabb kami ialah Allah kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan memperoleh surga yang telah dijanjikan Allah kepadamu (Al-Fussilat : 30)

Kemenangan terbesar yang dijanjikan untuk umat Islam hanya terletak kepada kejayaan kita menguasai kembali kota suci Baitul Muqaddis dan membebaskan Palestin daripada segala sisa-sisa penindasan dan penjajahan Israel. Untuk mencapai kemenangan ini, ia amat menuntut pengorbanan yang luar biasa dari kita. Kita perlu keluar dari zon selesa yang membelit diri dan benar-benar komited untuk memenangi kembali peperangan ini. Peperangan yang memakan masa berkurun-kurun lamanya ini akan hanya dimenangi umat Islam andai kita kembali kepada Allah dan Rasul, serta menjauhi segala kemungkaran dan dosa, demi memastikan hijab yang menutup doa-doa kita selama ini akan terbuka, dan sebagai balasannya, Allah S.W.T. akan menurunkan bantuanNYA yang mencurah-curah kepada kita. Kita akhiri artikel ini dengan sama-sama meyakini ingatan Allah S.W.T. ini dengan sekuat hati kita, iaitu; “Dan ada lagi kurniaan lain yang kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat waktunya. Dan sampaikanlah berita gembira ini kepada orang-orang yang beriman.” (As-Saff :13)


SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha ABIM Pulau Pinang

Read More..

aku mahukan solehah,,.

“Saya mahukan wanita solehah, bu. Saya harap bu dapat carikan saya seorang wanita solehah yang akan mendampingi hidup saya, menghirup kesusahan dan kesenangan bersama saya,” bilang saya pada ibu saya satu ketika. Masing-masing mempunyai definisi tersendiri tentang wanita solehah, saya juga tidak terlepas. Seperti itu jugalah setiap orang mempunyai definisi citarasa tersendiri tentang kecantikan. Yang pasti , lelaki mahukan wanita yang solehah yang mampu menempuh kehidupan bersama dan begitulah sebaliknya. Solehah itu bukan pada nama atau rupa, tetapi hati dan budi.

Solehah itu bukannya nampak pada mata tetapi nur dan sinarnya tersimbah di wajah. Yang solehah, pasti akan ternampak pada wajahnya lambang kesolehan. Tidakkah benar pernyataan saya?. Tidak usahlah kita susah-susah dan payah-payah mencari definisi huruf demi huruf untuk menarik perhatian. S untuk Solehah. O untuk Obama. L untuk Lembut, bukannya lembu. H untuk Hembusan Kewangian. A untuk Agama dan H untuk Hantu. Usah didefinisikan sebegitu. Ia bukanlah satu perkara yang menarik pun.

Yang jelasnya, solehah ialah satu simbolik kepada seorang wanita yang mencurahkan keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya sepenuh hati. Perasaan keimanan itu menyeluruhi seluruh ruang hidupnya sehingga meletakkan ia dalam ruang ketaqwaan dan peribadatan yang hakiki. Tanda solehah itu ada beberapa antaranya:

1) Menjadikan Allah dan Rasul sebagai keutamaan. Antara petandanya ialah, mereka selera beribadat dan mereka tidak menghalang suami mereka daripada menjalankan gerak kerja dakwah meskipun menyempitkan ruang untuk bersama.

2) Mentaati suami dengan mengasihinya segenap perasaan, menasihatinya jika tersilap dengan penuh kebijaksanaan, mendokong suaminya serta sentiasa memberikan motivasi selain mengingati perkara-perkara penting dalam kehidupan suaminya seperti tarikh lahir.

3) Menjadikan gerak kerja membawa Islam sebagai resepi kejayaan rumah tangga.

4) Meletakkan nawaitu untuk melahirkan anak yang bakal menyibukkan diri dengan amal Islami. Disebabkan itulah pemimpin Palestin menyebut, “Kekuatan kami ialah rahim-rahim isteri kami”.

“Macam mana kamu nak orang solehah sedangkan kamu kerja pun tak ada. Ada ke orang nak kat kamu yang kerja takde ni?” tanya ibu, sinis sekali. Saya terpukul dan membantutkan hujjah saya buat seketika. Namun hanya seketika. Saya menerawang berfikir. Ibu seorang kakitangan kerajaan. Mungkin sejak saya dalam kandungan lagi ibu berpesan sambil mengusap perut, “Ngah, bila besar nanti, kena kerja kerajaan”. Aduh, berat sekali untuk berdepan dengan kehendak ibu yang mendesak sebegitu. “Nanti tok Qadhi tanya kerja apa, ha..nak kahwin macam mana?” Begitulah bilang ibu.

Saya mencari-cari. Mengintai-intai mana-mana muslimat yang kuat. Ada yang mahukan suami yang pandai buat roti canai. Ada yang mahu suami yang kerja tetap. Ada yang mahu menurut kehendak ibu bapa sahaja. Ada yang mahu senegeri. Ada yang mahu sebaya, tidak kurang juga yang mahukan yang lebih tua. Ada yang mahu suami yang prihatin dan mengambil berat. Ada yang mahukan keromantikan. “Ada tak yang mahu orang yang tidak bekerja dengan kerajaan macam ana?” tanya saya kepada seorang sahabat akhawat satu ketika. “Jadi, ustaz kerja apa? Takkan nak bagi dia makan pasir?” Tanya balik akhawat tersebut. Ish, banyak songeh betul. Orang tanya, bukan nak jawab. Dipukulnya pula saya dengan persoalan itu. Aduh, peritnya. “Ustazah, ana meniaga,” balas ana balik. “Ustaz meniaga apa? Miskin je nampak,” Ish, budak ni. Memang nak kena. Aku luku sekali baru tahu. Kata saya dalam hati. "Awat ustazah banyak sangat tanya ni ? Ke ustazah yang nak kat ana ?” Saya bagi buah kilas sekali. Terus dia terdiam dan, dot, dot, doooot. Fuh, malu la tu. Gerutu hati saya.

Saya berniaga dengan Allah. Biarlah Allah yang membalas segala usaha saya. Saya tidak gemar bekerja dengan manusia yang banyak protokolnya. Saya bukan semacam ibu. Malah saya berbeza dengan kakak Sarah yang rajin bekerja. Adik-adik saya sinis berkata, “Ada orang tu, dapat kerja tapi tolak, kuikui,”. Apapun, saya masih mengembara mencari wanita solehah. Yang sanggup menghirup kesusahan bersama saya, terbang mencari ampunan Illahi melalui gerak kerja Islam. Ahhh..saya mahukan wanita solehah, tolonglah! Kenapa saya mahukan wanita solehah? Kerana saya mahukan hidup saya bahagia. Saya tidak pentingkan yang romantik kerana cukuplah saya yang romantik. Saya tidak mahukan yang kaya-raya kerana saya sudah terbiasa dengan kesusahan. Saya hanya mahukan Solehah. Ops.. maaf tersilap. Bukan saya mahukan Solehah tetapi mahukan yang solehah.

“Ustaz Mi, bagaimana caranya mahu mendapatkan wanita solehah. Saya ingin menjadikannya teman berbicara tentang ilmu, teman seperibadatan, teman yang berkongsi perasaan dan permasalahan. Bagaimana caranya Ustaz Mi?” tanya saya kepada sahabat saya Azmi satu ketika. Walhal, Azmi sendiri teraba-raba mencari wanita solehah. “Enta ni Dzul. Enta nak orang solehah, tapi enta pula entah apa-apa. Macam mana enta nak orang solehah kalau macam ni?” Aduh, saya terpukul sehingga kelebam-lebaman dibuatnya.

Read More..

Galeri

Galeri

Read More..

Diriku

Aku adalah....

Read More..

.:: Isu Nama Allah: Persoalan Aqidah Bukan Perebutan Nama ::.

Isu Herald Tribune telah mengundang reaksi pelbagai pihak sejak awal tahun ini. Setelah Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk melarang penggunaan nama Allah oleh surat khabar tersebut, Dewan Ulama Pas (Harakah, 1 Januari 2008) menyatakan Islam tidak melarang penganut agama lain menggunakan kalimat Allah bagi Tuhan mereka. Sebagai reaksi saya juga telah membahas isu ini dalam artikel yang diterbitkan dalam laman web khairaummah. com pada 20 Januari 2008 dengan harapan ia dapat membantu umat Islam di negara ini memahami persoalan yang sebenar.

Namun isu ini ternyata menjadi hangat kembali apabila Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin, menulis dalam Mingguan Malaysia pada 27 April 2008 bahawa Umat Islam tidak perlu berebut nama Allah dengan penganut Katolik. Mereka berhak menamakan Tuhan mereka dengan nama Allah kerana dalam al-Qur'an pun kaum Musyrikin menggunakan nama Allah. Mufti juga menegaskan bahawa yang menjadi permasalahan adalah bukan nama Tuhan tetapi kesyirikan penganutnya. Saya terpanggil untuk memberi tanggapan kerana hal ini akan mengundang kekeliruan jika tidak diperjelaskan dengan tuntas.

Yang paling penting kita perlu jelas bahawa nama Allah telah menjadi nama khas bagi Tuhan umat Islam. Perlu dibezakan antara kalimat Allah dari sudut bahasa yang telah wujud sejak zaman Jahiliyyah dengan kalimat Allah yang telah diIslamkan setelah menjadi istilah atau nama khas. Jika kita perhatikan kalimat tawhid: la ilaha illa Allah. Ia tidak bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan, tetapi tiada tuhan melainkan Allah. Kerana jika ia bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan maka tidak ada maknanya seseorang mengucapkan kalimat tawhid itu. Oleh kerana itu sarjana-sarjana Islam tidak bersetuju untuk menggantikan Allah dengan God dalam bahasa Inggeris.
Pengislaman nama Allah ini juga jelas apabila kita lihat surah al-Ikhlas, antara surah terpenting dalam al-Qur'an, yang menjelaskan siapakah Allah dan apakah sifat-sifatnya: "Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia"."(al-Ikhlas: 1-4). Berdasarkan Surah dia atas, sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa yang bernama Allah adalah yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Dalam erti kata lain kita tidak mengakui bahawa yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut juga adalah Allah.
Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Asri memang masyarakat Jahiliyyah menggunakan nama Allah, tetapi nama Allah di situ digunakan dari sudut bahasa sahaja dan sebelum perkataan itu diIslamisasikan. Ia kemudian menjadi nama khusus yang merujuk kepada sifat-sifat di atas. Kata-kata solat, contohnya, dari segi bahasa adalah doa dan telah digunakan oleh orang Arab sejak pra-Islam lagi, ia kemudian menjadi istilah yang merujuk khusus kepada apa yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh itu kita tidak boleh mengatakan orang Katolik juga melakukan solat hanya kerana mereka berdoa di gereja.
Umat Islam perlu melihat apa yang berlaku di sebalik persoalan nama Allah ini. Jika kita lihat dengan teliti isu ini dengan isu-isu yang sebelumnya kita akan dapat melihat hubungannya. Contohnya isu pluralisme agama yang giat dipromosikan oleh orang bukan Islam dan sebahagian orang Islam sendiri iaitu Islam Liberal. Para pendukung pluralisme agama ini berusaha untuk mendangkalkan makna-makna atau kata kunci dalam agama. Mereka mengatakan bahawa Tuhan dalam agama manapun pada peringkat tertinggi (transcendental) adalah sama. Bagi umat Islam, konsep Tuhan kita jauh berbeza dengan konsep Tuhan dalam agama mana pun.
Pendukung pluralisme agama juga menekankan wujudnya persamaan antara agama-agama dan perbezaan perlu diketepikan untuk kebaikan bersama. Padahal bagi kita perbezaan fundamental antara Islam dengan agama lain walaupun sedikit adalah sangat penting dan tidak boleh dipinggirkan. Sebahagian orang bukan Islam bahkan mengaku telah Islam tanpa perlu masuk Islam. Kerana mereka merasa telah 'berserah diri' kepada Tuhan. Di sini mereka merujuk perkataan Islam dari sudut bahasa ialah berserah diri. Jika Allah hanya bermakna Tuhan maka kini mereka akan mendakwa bahawa mereka juga telah beriman kepada Allah. Padahal mereka hanya percaya pada Tuhan.
Contohnya lagi kita tidak boleh menggunakan kata 'liberal' untuk makna terbuka kerana ia memberi konotasi yang dalam. Kita pun tidak akan mengatakan bahawa mereka telah memonopoli perkataan liberal. Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah sarjana Islam yang paling tegas dalam hal pemberian nama atau istilah ini. Bagi beliau banyak kekeliruan berpunca daripada penamaan. Contohnya pelajaran berbeza dengan pendidikan dan ta'dib. Istilah moden dan klasik dalam pembahagian sejarah bagi beliau tidak relevan dengan sejarah Islam dan lain-lain lagi.
Sebenarnya tidak ada nas sorih dan qat'i dalam persoalan ini. Nas dan dalil yang dikemukakan oleh Dr. Asri hanya menunjukkan bahawa masyarakat Jahiliyyah telah menggunakan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka. Kita perlu melihat ayat-ayat dan hadis-hadis seumpamanya dalam konteks penggunaannya dari sudut bahasa. Dari sudut bahasa Allah bermakna Tuhan.
Ayat-ayat tersebut turun ketika Islam mula diperkenalkan sebagai proses berdialog dengan kaum musyrikin. Setelah konsep-konsep penting dalam Islam jelas dan worldview Islam terbentuk maka di sini proses Islamisasi berlaku baik terhadap bahasa, budaya dan pemikiran masyarakat Arab.
Oleh kerana itu dengan mendangkalkan makna Allah maka kita telah menafikan proses Islamisasi tersebut dan kembali seolah-olah Islam belum bertapak. Memang kita boleh membuat kesimpulan tidak menjadi masalah orang bukan Islam menggunakan nama Allah kerana hal tersebut "tampak" secara literalnya wujud dalam al-Qur'an. Namun, dalam berijtihad seseorang ilmuwan tidak boleh hanya bersandarkan kepada makna literal teks atau nas tetapi perlu juga melihat kepada maqasid dan falsafah yang mendasarinya sebagaimana telah ditegaskan oleh al-Shatibi.
Persoalan nama Allah tidak boleh dilihat dari sudut fiqh sahaja khususnya kerana ia menyangkut aqidah. Ia mesti melibatkan kepakaran dalam bidang falsafah Islam, dan lebih spesifik metafizik Islam dan epistemologi Islam. Dalam perbualan peribadi dengan seorang tokoh pemikiran Islam, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, beliau memberitahu dan menyambung hujah Prof S.M.N al-Attas bahawa al-Qur'an telah merubah dan memperbaiki kekeliruan dan kerusakan yang telah terjadi kepada hakikat-hakikat penting yang berkisar di sekitar ketuhanan, kemanusiaan dan kejadian.
Dalam hal ini yang terjadi ialah proses Islamisasi terutama tentang hakikat ketuhanan yang merupakan tiang seri agama Islam. Menurut beliau lagi sekarang ini yang kelihatan sedang berlaku ialah proses deislamisasi dengan membawa makna-makna yang asing dan berlawanan dengan aqidah dan pandangan alam Islam, samada aliran-aliran sekular atau dari agama-agama lain. Prof Wan Mohd Nor juga berkata setiap istilah dalam semua bahasa mempunyai batas-batas makna yang sah yang mencerminkan pandangan alam tertentu, dan yang membezakan sesuatu istilah itu dengan yang lain.
Persamaan yang banyak pun masih memerlukan istilah atau nama yang berbeza jika terdapat hanya satu perbezaan yang penting. Sebab itulah semua bahasa-bahasa yang tinggi mempunyai kamus. Keldai, kuda, baghal banyak persamaan tetapi terdapat perbezaan; dua manusia kembar siam juga diberi nama yang berbeza. Orang bukan Islam boleh mempekayakan kamus peristilahan Bahasa Melayu dengan menggunakan nama lain bagi Tuhan mereka. Dalam konteks Kristian, mereka boleh gunakan Tuhan, Dewata, Deus, Theos, atau God. Selama ini gereja, kuil, sami, paderi, uskup dan lain telah memperkayakan Bahasa Melayu dan tidak menimbulkan kekeliruan dan kemarahan masyarakat yang beragama lain.
Di sini jelaslah bahawa seseorang yang bercakap tentang persoalan aqidah mesti faham kaitannya dengan worldview, tasawur dan pemikiran Islam. Dalam hal ini, aqidah tidak hanya bermakna kepercayaan dan keimanan dalam ertikata yang sempit seperti biasa difahami oleh masyarakat umum, namun ia adalah satu set keyakinan yang dapat memberi kesan kepada cara berfikir (worldview) dan cara hidup (way of life) seseorang Muslim.
Kita juga perlu berfikir mengapa kaum Katolik ingin menggunakan nama Allah? Kita tidak boleh tertipu dengan hujah persamaan nama yang bagi sesetengah orang hanya bersifat luaran. Kita tahu pada hakikatnya nama Tuhan mereka bukan Allah. Nama Allah mungkin relevan bagi penganut Kristian di negeri-negeri Arab tetapi tidak di selain negeri Arab. Oleh itu jelas terdapat agenda yang tersembunyi yang tidak boleh luput dari perhatian umat Islam. Isu ini juga dibangkitkan dengan memanfaatkan toleransi dan dialog antara agama yang semakin mendesak ketika ini.
indakan membiarkan pihak Kristian menggunakan kalimat Allah bukan satu toleransi tetapi satu penggadaian hak dan kedaulatan. Ia adalah satu kerugian yang besar dan kelemahan yang nyata apabila umat Islam membiarkan penganut agama lain mendangkalkan konsep dan istilah penting dalam Islam. Perkataan Allah, solat, tawhid, rasul, bahkan istilah Islam itu sendiri membawa makna yang tersendiri setelah diislamisasikan. Kalimat-kalimat ini telah menjadi bahagian penting daripada pandangan sarwa Islam (Islamic worldview). Jika ia dikaburkan maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran dan aqidah umat Islam. Sesiapa pun yang ingin memahami persoalan ini perlu sedar bahawa beberapa istilah keagamaan tertentu telah menjadi 'milik' umat Islam.
Sebarang tindakan meng-'import'nya boleh dianggap sebagai penyalahgunaan dan pencabulan terhadap agama Islam. Istilah-istilah keagamaan mesti dihormati, dari agama manapun ia datang, oleh penganut agama lain. Toleransi mungkin berlaku jika wujud penghormatan terhadap agama lain. Nama dan istilah tertentu seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dalam agama-agama tertentu tidak boleh digunakan sewenang-wenang oleh penganut agama lain. Ini bukan sahaja kerana ia telah sinonim dengan agama penggunanya tetapi juga kerana kalimat ini telah diwarnai atau mengandungi pandangan sarwa penggunanya.
Oleh itu tindakan Kementerian Dalam Negeri pada 31 Disember 2007 melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam.
Ia perlu disokong dan orang-orang agama tidak sepatutnya mengeruhkan lagi keadaan. Umat Islam mesti mempertahankan nama Allah untuk tidak digunakan oleh orang bukan Islam selagi termampu. Masyarakat Islam di negeri-negeri Arab tidak mempunyai kemampuan untuk mempertahankan hal ini kerana ia berlaku secara halus dan di luar kawalan mereka. Kebelakangan ini tampaknya ketidaksepakatan orang Islam dalam hal ini telah membuka ruang kepada Herald Tribune untuk menggugat keputusan Kementerian tersebut.

Maka dapat disimpulkan bahawa jika dilihat dari sudut falsafah dan pemikiran, dan bukan hanya dari sudut fiqh, kita akan melihat bahawa nama memberikan seribu makna. Jauhnya perbezaan antara Allah dengan Tuhan ibarat langit dengan bumi. Jelaslah isu ini bukan isu perebutan nama tetapi isu yang menyangkut jantung aqidah.
Ia juga berkaitrapat dengan pendangkalan makna Allah untuk menjustifikasikan pluralisme agama. Kita tidak boleh membiarkan pendangkalan makna tersebut berlaku tanpa penolakan umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab semua ilmuwan Islam untuk menentang segala usaha mendangkalkan makna dalam Islam.

Read More..