Monday 11 June 2012


 PERPADUAN UMAT BERMULA DI MASJID


Tanggungjawab Mengimarah Masjid
ALLAH SWT memerintahkan di dalam Al-Quran, maksudnya:
“Hendaklah kalian berpegang teguh dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai..” (surah Ali ‘Imran, 3: 103)
Antara cara untuk menyatukan umat Islam adalah dengan mengimarahkan masjid kerana di situlah tempat pertemuan. Malah perkara pertama yang Nabi SAW lakukan ketika sampai di Madinah dalam peristiwa hijrahnya adalah membina masjid; sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran, maksudnya:
“Masjid yang dibina atas dasar takwa yang terawal (binaannya) lebih layak untuk kamu berdiri di dalamnya untuk melaksanakan solat.” (surah At-Taubah, 9: 108)
Dahulu, masjid adalah lambang perpaduan. Dahulu, masjid dijadikan tempat untuk bermusyawarah. Masjid juga dijadikan tempat ibu-ibu tunggal, tempat beribadah, merancang strategi perang, ekonomi dan perpaduan. Hal ini boleh dikaitkan dengan hadis Nabi SAW ketika berbicara tentang saf. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Hendaklah kamu rapatkan saf sesama kamu di dalam solat, ataupun Allah SWT akan memecah belahkan hati kamu.” (riwayat Imam al-Bukhari & Imam Muslim)
Perpaduan bermula di masjid. Imam suatu ketika dahulu merupakan orang yang dihormati, dijadikan tempat penyelesaian kepada permasalahan ummat. Sebab itulah bukan calang-calang orang yang layak menjadi Imam. Nabi melantik Abu Bakar RA sebagai Imam untuk menggantikan tempatnya ketika ketiadaan baginda.
Martabatkan Institusi Masjid
Lama kelamaan aura tersebut hilang. Imam hanya menjadi penyelesai kepada pengurusan jenazah. Imam hanyalah orang yang dijemput sebagai ketua di majlis tahlil, bacaan doa, dan urusan seumpama itu sahaja.
Jadi dalam usaha mengimarahkan masjid di kalangan masyarakat pada hari ini, kita mencadangkan perkara pertama yang harus sama-sama kita lakukan adalah memartabatkan institusi masjid. Perkara inilah yang perlu dijadikan manifesto oleh parti-parti politik. Tetapi jangan pula selepas menang pilihanraya masjid ditinggalkan.
Masalah kita ialah satu pihak seronok membina masjid, satu pihak lagi mengimarahkan masjid dan mendapat sokongan daripada ahli masjid. Pihak lagi satu tidak berpuas hati dan berkata “kamilah yang membina masjid itu.” Pihak satu lagi pula berkata “kamilah yang mengimarahkan masjid itu.” Sampai di masjid masih hendak berpolitik.
Seharusnya sebaik menjejak kaki masuk ke dalam masjid, buanglah topi biru, topi hijau, atau topi merah. Apabila masuk ke dalam masjid kita sama-sama adalah umat Islam, sujud kepada Tuhan yang satu. Tidak boleh saling tidak bertegur sapa disebabkan perbezaan fahaman politik.
Solat Fardhu Berjamaah di Masjid
Pada zaman Nabi SAW, antara cara untuk membezakan antara munafiq dan muslim adalah melalui solat berjamaah, kerana pada masa itu semua umat Islam hadir solat berjamaah di masjid, tiada yang berkecuali jadi mereka saling mengenali antara satu sama lain dan menyeru kepada perpaduan. Sabda Nabi SAW,
“Tidak ada yang akan meninggalkan solat berjemaah, kecuali orang munafiq yang sudah diketahui kemunafikannya.” (riwayat Imam Muslim)
Malah di dalam azan dilaungkan “Hayya-‘ala-as-solah, Hayya-‘ala-al-falah.” Apa kaitannya solat dengan seruan Hayya-‘ala-al-falah (Marilah kita menuju kejayaan)? Kerana kejayaan tercipta hasil daripada perpaduan.
Solat berjemaah bukan ibadah yang remeh. Bermula dari solat ia mendidik jiwa yang taat dan berdisiplin. Kerana apa? Kerana kita mesti mengikut imam. Tidak boleh sebelum imam bertakbir kita mendahului mengangkat takbir. Bahkan Nabi SAW menyebutkan ancaman bagi orang yang ruku’ terlebih awal daripada Imam seperti yang direkod di dalam hadis,
”Tidakkah takut orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam akan Allah mengubah kepalanya menjadi keldai?!” (riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Itu adalah amaran keras bagi orang yang mendahului imam di dalam solat. Disiplin dalam solat, serta disiplin dalam mengikuti imam mengajar kita taat.
Sayangnya institusi masjid pada hari ini kian lesu, kecuali beberapa masjid sahaja. Kita membaca khutbah, kita bukan lagi berkhutbah. Nabi SAW apabila berkhutbah merah kedua matanya, kuat suaranya seperti Nabi itu sedang menjadi panglima tentera yang sedang menyeru orang keluar berperang. Begitulah cara Nabi berkhutbah. Jabir bin Abdillah berkata,
“Apabila Nabi SAW berkhutbah, kedua matanya memerah, suaranya meninggi dan semangatnya memuncak. Beliau bagaikan panglima perang yang sedang mengingatkan pasukannya.” (riwayat Imam Muslim no.867)
Tetapi pada hari ini apabila khatib naik ke mimbar, jemaah mula memilih tempat parking masing-masing, apabila khatib mula berkhutbah, jemaah mula faham dah (mengantuk). Jadi di manakah nilai institusi masjid?
Oleh itu kita perlu mengimarahkan institusi masjid kerana masjid merupakan simbol perpaduan. Kita perlu mengajak semua orang tidak kira dari UMNO atau PAS, buang baju hijau, biru atau merah, masuklah ke dalam masjid dan tunjukkanlah bahawa kita bersatu kerana agama.
Kita perlu memanfaatkan dan menaik taraf institusi masjid. Bagi pihak yang mengurus masjid, fikirkanlah bagaimana cara untuk menaik taraf institusi masjid agar lebih mesra dengan semua lapisan masyarakat dan peringkat umur. Kita mahukan perpaduan Melayu dan khususnya perpaduan Islam itu sendiri.
Orang yang beriman adalah orang yang mengimarahkan masjid seperti yang digambarkan ciri-ciri mereka di dalam Al-Quran, maksudnya:
“Ciri-ciri orang yang mengimarahkan rumah-rumah Allah SWT adalah orang yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat.” (surah At-Taubah, 9: 18)
Siaran akhbar, Ahad 10 Jun 2012

Sahih Muslim

 Bab Israk Rasulullah S.a.w Ke Langit Dan Kewajipan Sembahyang

  • Hadith no. 238

    Hadis Malik bin Sokso'ah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Ketika aku berada di tepi Baitullah dalam keadaan separuh tidur, tiba-tiba aku mendengar percakapan salah seorang dari tiga lelaki iaitu yang berada di tengah-tengah. Lalu mereka menghampiri aku dan membawa aku ke suatu tempat. Kemudian mereka membawa sebuah bekas daripada emas yang berisi air Zamzam. Setelah itu dadaku dibedah sehinggalah ke sini dan ke sini. Qatadah berkata, aku telah bertanya kepada orang yang bersamaku: Apakah yang baginda maksudkan? Beliau menjawab: Hingga ke bawah perut baginda. Baginda terus bersabda lagi: Hatiku telah dikeluarkan dan dibersihkan dengan air Zamzam, kemudian mereka meletakkannya kembali di tempat asal. Setelah itu diisi pula dengan iman dan hikmat, lalu dibawa pula kepadaku seekor binatang tunggangan berwarna putih yang dikenali sebagai Buraq, ia lebih besar dari keldai dan lebih kecil dari baghal. Ia mengatur langkahnya sejauh mata memandang, sementara itu aku dibawa di atas belakangnya. Kemudian kami pun memulakan perjalanan hingga sampai ke langit dunia, setelah itu Jibril a.s meminta agar dibukakan pintunya, lalu ditanya: Siapa? Jawabnya: Jibril. Kemudian ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Lalu Jibril menjawab: Muhammad s.a.w. Lalu ditanya lagi: Adakah dia orang yang telah diutuskan? Jawabnya: Ya. Sejurus kemudian malaikat yang menjaga pintu tersebut membuka pintu sambil berkata: Selamat datang, sesungguhnya tetamu utama telah tiba. Lalu kami mengunjungi Nabi Adam a.s. Hadis ini menceritakan kisah yang berlaku pada ketika itu. Seterusnya diceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w bertemu dengan Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s di langit kedua, manakala di langit ketiga pula baginda berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s. Seterusnya di langit keempat bertemu pula dengan Nabi Idris a.s. Setelah sampai di langit kelima baginda bertemu pula dengan Nabi Harun a.s. Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian kami meneruskan perjalanan sehingga sampai di langit keenam, lalu aku menemui Nabi Musa a.s dan memberi salam kepadanya. Beliau segera menjawab: Selamat datang wahai saudara dan nabiku yang soleh. Semasa aku meningalkannya, beliau terus menangis. Lalu beliau ditanya: Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Beliau menjawab: Wahai Tuhanku! Engkau telah mengutus pemuda ini kemudian dari ku, tetapi umatnya paling ramai memasuki Syurga berbanding dengan umatku. Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai di langit ketujuh, lalu aku mengunjungi Nabi Ibrahim a.s. Hadis ini menjelaskan bagaimana Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa baginda melihat empat batang sungai yang keluar dari pangkalnya iaitu dua batang sungai yang jelas kelihatan dan dua batang sungai yang samar-samar. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Wahai Jibril! Sungai-sungai apakah ini? Jibril menjawab: Dua batang sungai yang samar-samar itu merupakan sungai Syurga, manakala yang jelas kelihatan adalah sungai Nil dan Furat. Seterusnya aku dibawa naik ke Baitulmakmur, lalu aku bertanya: Wahai Jibril, apakah ini? Lalu Jibril menjawab: Ini adalah Baitulmakmur, setiap hari tujuh puluh ribu Malaikat akan memasukinya. Setelah mereka keluar, mereka tidak akan memasukinya lagi kerana itu merupakan kali yang terakhir mereka memasukinya. Kemudian dibawa pula kepadaku dua bekas yang satunya berisi arak dan satu lagi berisi susu. Keduanya dihulurkan kepadaku lalu aku memilih susu. Maka dikatakan kepadaku: Kamu membuat pilihan yang tepat! Allah menghendakimu dan umatmu dalam keadaan fitrah iaitu kebaikan dan kelebihan. Kemudian difardukan pula kepadaku sembahyang lima puluh waktu setiap hari kemudian diceritakan kisah seterusnya hingga ke akhir Hadis. [info]
  • Hadith no. 239

    Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menceritakan tentang perjalanan Israknya. Baginda bersabda: Nabi Musa a.s berkulit sawa matang dan tinggi seperti seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah. Manakala Nabi Isa a.s pula berbadan gempal, tingginya sederhana. Selain dari itu baginda juga menceritakan tentang Malik penjaga Neraka Jahanam dan Dajal. [info]
  • Hadith no. 241

    Hadis Ibnu Abbas r.a: Bahawa Rasulullah s.a.w berjalan melalui sebuah Lembah Al-Azraq. Baginda bertanya: Lembah apakah ini? Para sahabat menjawab: Inilah Lembah Al-Azraq Rasulullah s.a.w bersabda: Aku seolah-olah memandang kepada Nabi Musa a.s yang sedang menuruni sebuah bukit sambil memohon daripada Allah dengan suara yang keras melalui talbiyah. Kemudian ketika sampai di Bukit Harsya baginda pun bertanya: Bukit apa ini? Para sahabat menjawab: Bukit Harsya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Seolah-olah aku melihat Yunus bin Matta a.s berada di atas seekor unta gemuk berwarna merah yang dilengkapkan dengan kain bulu dan tali kekang sementara beliau sentiasa bertalbiah. [info]
  • Hadith no. 245

    Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Semasa aku dibawa berjalan dalam peristiwa Israk, aku telah bertemu dengan Musa a.s lalu baginda memberi gambaran mengenainya, maka ternyata beliau seorang lelaki yang tinggi kurus dan berambut ikal, seolah-olah beliau seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah. Selain dari itu aku juga telah berjumpa dengan Nabi Isa a.s lalu baginda memberi gambaran mengenainya, ternyata beliau berwajah dan berperawakan sederhana, berkulit merah, seolah-olah baru keluar dari bilik mandi. Kemudian aku bertemu pula dengan Nabi Ibrahim a.s dan baginda menyatakan kepada kami bahawa bagindalah keturunannya yang paling mirip dengannya. Lalu dibawa kepadaku dua bekas, salah satunya berisi susu dan satu lagi berisi arak. Dikatakan kepadaku: Ambillah mana-mana satu yang engkau suka, lalu aku mengambil bekas yang berisi susu dan meminumnya. Kemudian dikatakan kepadaku: Engkau sememangnya telah diberi petunjuk dengan fitrah atau engkau menepati fitrah, seandainya engkau mengambil arak, nescaya sesatlah umatmu. [info]
  • Friday 8 June 2012

    FUNGSI MASJID

    MASJID adalah rumah Allah untuk beribadat kerana itu kesucian dan kemuliaannya hendaklah dipelihara. Segala amalan atau perkara yang dianggap boleh mencemarkan kesucian dan kemuliaan masjid tidak boleh dilakukan di dalam masjid.

    Masjid juga bukan untuk tatapan dan ibadat sembahyang pada hari dan waktu tertentu saja. Sebaliknya, ia adalah pusat dan nadi kegiatan ummah, sama ada dari segi kerohanian atau keduniaan seperti kegiatan yang menyentuh perhubungan antara manusia dan pencipta (Allah). Begitu juga, perhubungan manusia sesama mereka sendiri dalam menguruskan hal ehwal keagamaan, ekonomi, sosial, keilmuan dan pentadbiran negara. Ia adalah tempat melaksanakan segala kegiatan manusia yang mencerminkan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah.

    Al-Quran menjelaskan fungsi masjid di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan." – (surah Al-Nur, ayat 36-37)

    Dalam ayat berkenaan, tasbih atau zikir bukan hanya bererti mengucapkan subhanallah saja, melainkan lebih luas lagi, sesuai dengan makna yang dicakupi oleh perkataan berkenaan serta konteksnya. Sedangkan erti dan konteks berkenaan dapat disimpulkan sebagai takwa.

    Kalau dikaji dari segi bentuk fizikal masjid pada zaman Rasulullah, ternyata sifatnya tidak seperti sifat masjid yang dibina di negeri umat Islam pada masa kini. Pada zaman itu, masjid didirikan daripada pelepah tamar dan atapnya daripada daun kurma dan apabila sujud debu melekat pada dahi.

    Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, langkah pertama yang baginda lakukan ialah membina masjid. Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah ialah Masjid Quba. Masjid ini didirikan secara bergotong-royong di atas sebidang tanah kepunyaan dua anak yatim. Keadaan masjid itu sangat sederhana, dikelilingi tembok batu bata yang diperbuat daripada tanah liat dan berlantaikan pasir (Shalaby, Ahmad. Perbandingan Agama Islam hlm: 77)

    Ini disusuli pembinaan Masjid Nabawi di Madinah. Jelasnya kedua-dua masjid itu dibina atas dasar ketakwaan sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah: "Janganlah engkau sembahyang di masjid itu (yang dibina oleh orang munafik) selama-lamanya kerana sesungguhnya Masjid Quba yang didirikan atas dasar takwa dari mula (wujudnya), (maka) sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya..."– (Surah Al-Taubah, ayat 108).

    Setiap masjid seharusnya memiliki landasan dan fungsi berkenaan. Itulah sebabnya Rasulullah meruntuhkan bangunan kaum munafik yang juga disebut sebagai masjid dan menjadikan lokasi itu tempat membuang sampah-sarap. Ini kerana bangunan itu tidak menjalankan fungsi masjid yang sebenarnya iaitu ketakwaan.

    Masjid tidak dilihat dari segi peranannya yang khusus saja, malah dari segi pembangunan dan perkembangan ummah seperti yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah dan sahabat.

    Di antara fungsi masjid pada zaman Rasulullah ialah:

    l Tempat ibadat, terutama sembahyang berjemaah.

    l Tempat pembentukan peribadi umat Islam atau dalam erti kata lain masjid adalah pusat pendidikan Islam.

    l Pusat perkembangan ilmu pengetahuan kerana masjid tempat ilmu pengetahuan disampaikan baik dalam bidang akidah, syariat dan akhlak.

    l Tempat wahyu diturunkan dan sebagai tempat wahyu disampaikan kepada sahabat.

    l Pusat kegiatan kesusasteraan dan persuratan Islam. Ada sahabat yang menyampaikan syairnya dalam masjid.

    l Pusat kegiatan sosial dan kehakiman dalam perkara yang berkaitan dengan nikah kahwin dan penyelesaian masalah umat Islam.

    l Tempat letaknya Baitulmal negara.

    l Tempat persinggahan musafir dan tempat menyambut tetamu.

    l Lambang persaudaraan dan perpaduan umat Islam kerana setiap hari lima kali umat Islam bertemu dengan tujuan yang sama tanpa mengira kedudukan dan keturunan.

    l Tempat membuat perisytiharan kepada umat termasuk perisytiharan pelantikan khalifah (Abu Shuhbah, al-Sirat Nabawiyyat Fi al- Qur'an Wa al-Sunnat jld: 2 hlm: 31).

    Antara sebab masjid pada zaman silam mampu berperanan sedemikian luas ialah:

    l Keadaan masyarakat yang bersatu padu dan berpegang teguh kepada nilai keagamaan dan kebudayaan.

    l Kemampuan pembina masjid menghubungkan aspek sosial dan keperluan masyarakat dengan kegiatan masjid.

    l Manifestasi pemerintahan terlaksana di dalam masjid.

    Di sesetengah masjid di negara ini, fungsi dan peranan masjid sebagaimana pada zaman keagungan Islam dulu tidak lagi dilaksanakan.

    Namun ia tidak bererti bahawa institusi masjid tidak mampu berperanan dalam hal berkenaan.

    Dalam muktamar Risalah al-Masjid di Makkah pada 1975, soal peranan dan fungsi masjid dibincang dan disepakati bahawa masjid boleh berperanan dengan baik apabila memiliki peralatan dan ruangan yang memadai untuk:

    l Ruang solat yang memenuhi beberapa syarat keluasannya.

    l Ruang khusus untuk wanita yang memudahkan mereka untuk keluar masuk masjid tanpa bercampur gaul dengan lelaki. Ini termasuk ruang solat dan pendidikan.

    l Ruang bagi sebarang pertemuan dan bilik perpustakaan.

    l Ruang klinik dan ruang untuk memandi dan mengkafankan jenazah; dan

    l Ruang untuk beriadah bagi remaja Islam.

    Semua perkara ini harus diwarnai dengan keadaan fizikal bangunan masjid, namun semestinya melaksanakan peranan masjid sebagaimana yang disebutkan di atas. (Quraisy Shihab, Wawasan al-Qur'an hlm: 463).

    Masjid adalah rumah Allah untuk beribadat kerana kesucian dan kemuliaannya hendaklah dipelihara. Segala amalan atau perkara yang dianggap boleh mencemarkan kesucian dan kemuliaan masjid tidak boleh dilakukan di dalam masjid.